Wednesday, October 28, 2009

SIFAT PEMAAF PENYELAMAT MANUSIA DI MAHSYAR

Assalamualaikum..sekadar perkongsian yang ana petik dari sebuah buku "Mati Sebagai Satu Peringatan" dan "Air Mata Mahsyar".Alhamdulillah sebuah panduan menuju hati yang tenang.

Insan sebagai makhluk Allah,bukan sahaja dilengkapi dengan akal fikiran,tetapi juga mempunyai perasaan.Ada kalanya manusia dipengaruhi perasaan saying,sehingga dia sanggup berkorban apa saja terhadap orang yang disayangi.Ada juga yang mempunyai rasa simpati,hingga mendorong seseorang itu membantu orang lain dengan tenaga dan wang ringgit.

Pada ketika yang lain manusia kadangkala dipengaruh perasaan marah, apabila perasaan marah memuncak boleh menyebabkan manusia bertindak luar batas, sehingga dia sanggup mencederakan,hatta mengorbankan jiwa orang lain dan juga jiwanya sediri sekalipun.

Berbagai perasaan anugerah dari Allah itu amat berguna kepada manusia sendiri, bukan sekadar perasaan sayang dan simpati sahaja yang berguna, malah perasaan marah juga tetap berfaedah kepada kehidupan manusia. Marah yng kena pada tempatnya adalah suatu kebaikan, malah ada kalanya dituntut oleh agama, kerana tanpa perasaan marah mungkin manusia akan menjadi dayus.

Namun begitu perasaan marah yang tidak terkawal, banyak mendatangkan bencana, menyebabkan permusuhan sesama insan. Untuk itu islam menganjurkan suatu sikap terpuji bagi mengatasi rasa marah yang disebabkan oleh sesuatu itu dengan sifat pemaaf.

Jika seseorang sudi memaafkan orang lain walaupun mungkin hatinya terluka akibat perbuatan buruk orang itu, maka sesungguhnya dia telah memilih langkah bijik bagi menyelesaikan dua perkara secara serentak.

Pertama dia telah menyelesaikan perselisihan antara dia dan orang yanh terlibat, dan keduanya dia berjaya memadamkan api kemarahan yang sedang membakar hatinya.

Di sisi islam, sifat pemaaf itu mempunyai nilai yang tinggi, oleh itu islam menganjurkan persaudaraan, sebagaimana yang dijelaskan:

 إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ

Yang bermaksud:
“Sesungguhnya orang-orang mukmin adalah bersaudara, oleh itu damaikan antara kedua saudaramu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat
 (Surah Al-Hujurat ayat 10)

Bagaimanapun ia tidak mudah untuk dilaksanakan,realiti kehidupan menunjukkan permusuhan dan perseteruan terus melanda kehidupan manusia.Permusuhan antara individu,antara kumpulan,antara kaum dan antara negara.

Ada orang yang menyelesaikan pertelingkahan melalui mahkamah,ataupun melalui perundingan orang perantaraan,malah ada juga yang mengatasi krisis dengan kekuatan senjata melalui peperangan,meski pun tidak semua peperangan membuahkan kejayaan, namun apa yang pasti semua sengketa pasti menemui jalan penyelesaian.Jika didunia menemui jalan buntu,maka penyelesaian terakhir ialah dihadapan Qadhi Rabbul Jalil di hari mahsyar kelak.

Suatu hari Anas bin Malik r.a. serta ramai para sahabat yang lain duduk disisi Rasulullah, tiba2 mereka melihat Rasulullah tersenyum.Anas merasa hairan apabila Rasulullah S.A.W. tiba-tiba tersenyum gembira sehingga kelihatan gigi,lalu Anas bertanya :

“Apakah yang menyebabkan Rasulullah tersenyum gembira”

“Yang menyebabkan aku tersenyum kerana ada 2 orang dikalangan umatku di akhirat, keduanya merangkak di hadapan Allah SWT kerana minta diselesaikan kes yang melibatkan antara keduanya.

Seorang darinya merayu kepada Allah SWT : Wahai Tuhan,tolong aku balaslah terhadap orang ini,sesungguhnya dia sangat zalim dan telah menzalimi aku semasa di dunia dahulu,dengan berbagai-bagai perbuatan zalim.

Lalu Allah SWT memerintahkan orang yang zalim itu membayar ganti rugi,sebagai jalan penyelesaian untuk kes mereka berdua,tetapi orang yang zalim itu tidak dapat berbuat demikian,kerana tiada suatupun yang boleh untuk membayar kepada orang yang menuntut itu.

Orang yang berbuat zalim itu berkata : Dengan apakah aku hendak membayarnya, sedangkan tiada suatupun kebaikan yang tinggal padaku,kesemuanya telah habis dituntut oleh orang lain.
Ketika itu orang yang kena zalim itu minta agar orang yang zalim itu mengambil kejahatan dan dosa yang ada pada dirinya.

Pada ketika itu Rasulullah menitiskan air mata,Nabi menangis mengingati peristiwa mahkamah Allah yang sedang mendengar kes pengaduan kedua-dua umatnya yang sangat menyayat hati.
Lelaki yang melakukan kezaliman itu ingin membayar tuntutan tersebut,tetapi tidak terdaya kerana sudah tidak ada apa-apa yang tinggal untuk dirinya.” Jelas Nabi kepada Anas.

Lalu Rasulullah pun bersabda :

“Sesungguhnya itulah suatu hari yang sangat dasyat,sehingga sampai ke suatu peringkat manusia mencari orang lain untuk memikul dosanya.”

Di dunia manusia dengan sombong sanggup memikul dosa orang lain,meskipun sebenarnya manusia tidak akan mampu memikul walaupun hanya dosa mereka sendiri.

Ketika seorang dari dua orang yang berbalah di Mahsyar menuntut agar dosa mereka dipikul oleh orang yang menzaliminya,maka ketika itu Allah SWT memperlihatkan sebuah mahligai tersergam di dalam jannah.

“Tidakkah kamu melihat mahligai itu?” Ujar Tuhan kepada manusia yang sedang menuntut keadilan dari Tuhan terhadap taulannnya.

“Ya, saya nampak sebuah mahligai yang diperbuat dari emas dalam sebuah taman dari perak, untuk siapakah itu wahai Tuhan? Mungkinkah untuk nabi-nabi atau syuhada atau mungkin juga untuk golongan siddiqin?” Ujar orang itu.

“Mahligai itu untuk siapa saja asalkan mereka sanggup membayar harganya.” Jelas Tuhan.

“Jika demikian adalah mustahil saya dapat memilikinya, kerana saya tidak punya apa-apa di sini untuk membayar harga mahligai emas itu” ujar manusia itu.

“Justeru kamu masih berpeluang memilikinya, kerana kamu masih memiliki barang bernilai yang dapat membayar harga mahligai itu.”

“Bagaimana caranya?”Tanya orang itu kepada Tuhan penuh kehairanan.
“Iaitu sekiranya kamu sedia memaafkan rakan kamu dan tidak menuntutnya agar memikul dosamu.”Tuhan menjelaskannya.

Dengan melompat kegembiraan orang itu berkata : “Wahai Tuhanku,kalau begitu aku segera memaafkan dia,terhadap apa2 jua kezaliman yang telah dilakukan kepada saya,” ujar manusia itu dengan perasaan penuh gembira yang tidak terhingga.

Lalu Allah SWT memerintahkan malaikat agar membawa orang itu ke dalam mahligai yang terbina di sebuah jannah dari perak,kemudian Tuhan mengizinkan orang itu membawa bersama taulannya memasuki syurga itu.

Demikian Rasulullah S.A.W. menceritakan kepada Anas bin Malik suatu peristiwa di akhirat,melibatkan duaorang dikalangan umatnya yang berusaha untuk menyelamatkan diri dihari yang tiada pertolongan kecuali pertolongan Allah SWT.Satu kemaafan yang dapat menyelamatkan dirinya dan juga rakannya dari sengsara Mahsyar.

Justeru itu alangkah baiknya jika manusia memahami betapa perlunya seseorang itu mempunyai sifat toleransi dan pemaaf terhadap sesama manusia,kerana sifat pemaaf itu akan mendatangkan kebajikan kepada dirinya dan juga kepada orang yang diberi kemaafan.

Memaafkan orang lain dari kesalahan yang dilakukan terhadap dirinya,bererti dia menolong saudaranya dari beban dosa,sifat itu menjadi saluran rahmat Allah terhadap dirinya,sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W.

Yang bermaksud :
Sesungguhnya Allah Ta’ala tidak menyayangi kecuali kepada hamba-Nya yang penyayang,tidak mengampun kecuali terhadap hamba-Nya yang pengampun,dan tidak menerima taubat kecuali terhadap hamba-Nya yang sanggup memaafkan kesalahan saudaranya.”

Bagaimanapun kemaafan seseorang seseorang itu biarlah pada tempatnya,jika sentiasa pemaaf hatta setiap apa jua yang diperlakukan orang terhadap dirinya sehingga hilang marwah diri,akhirnya orang akan mengeksploitasi sikap itu sehingga hina dan hilang harga diri,maka pemaaf seperti itu tidak wajar.

Merendah diri dikalangan manusia memang suatu sifat terpuji,namun merendah diri tidak bererti menghina diri,kerana sikap itu adalah suatu kelemahan.Menghina diri itu bukan dari ajaran islam,kerana orang2 yang beriman itu adalah tinggi martabatnya disisi Allah

Firman Allah SWT :

وَلاَ تَهِنُوا وَلاَ تَحْزَنُوا وَأَنتُمُ الأَعْلَوْنَ إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ
Yang bermaksud :

“Janganlah kamu merasa hina dan janganlah (pula) kamu bersedih hati padahal kamu orang2 yang paling tinggi (Derjatnya) jika kamu orang2 yang beriman”

 (Surah Ali-Imran ayat 139)



Sama-samalah kita bermuhasabah diri dan mengambil pengajaran dari kisah yang telah digambarkan Rasulullah kepada kita..Ana sentiasa berdoa agar sahabat2 dapat memaafkan kesilapan yang telah lalu..Sesungguhnya kekhilafan lalu cukup memberi pengajaran.

InsyaAllah,menjadi iktibar dan pengajaran buat diri ini,kerana pahit manis pengalaman mengajar kita erti kehidupan.



Salam kemaafan buat semua…..smoga Allah menyayangi hamba-Nya yang menyayangiNya dan Mengampuni dosa hambaNya yang pengampun.
Wallahua'lam.